Sheislane dilihat merampas mahkota daripada Carolina. |
Manaus, Brazil: Pertandingan Ratu Cantik Miss Amazon 2015 kecoh apabila pemenang tempat kedua yang tidak berpuas hati dengan keputusan hakim menarik mahkota daripada saingannya yang dinobatkan gelaran berkenaan.
Dalam kejadian kelmarin, Sheislane Hayalla, 23, yang berang dengan kemenangan Carolina Toledo, 20, membaling mahkota berkenaan ke lantai dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum meninggalkan pentas apabila menganggap wanita berkenaan tidak layak untuk memenangi gelaran terbabit yang didakwa sudah “dibeli.”
“Memang wang berkuasa di Manaus dan saya mahu menunjukkan bahawa itu tidak benar di sini.
“Dia tidak layak untuk memegang gelaran itu,” katanya.
Penganjur pertandingan segera berusaha mengutip mahkota itu dan meletakkannya semula di kepala Carolina manakala pengawal keselamatan mencari penyerangnya.
Bagaimanapun, Carolina enggan mengulas kejadian berkenaan.
Pemenang Miss Amazon itu akan mewakili negerinya dalam pertandingan ratu cantik Miss Brazil.
Sementara itu, penganjur pertandingan sedang mempertimbangkan sama ada Sheislane akan dikenakan sebarang tindakan.
Ini bukan kali pertama kontroversi melanda pertandingan ratu cantik di Brazil. Beberapa tahun lalu, pertandingan Miss Bumbum bagi mencari punggung paling cantik turut menerima kecaman apabila dua calon dituduh merasuah hakim untuk meraih kemenangan. - Agensi